Tiga individu menjadikan sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, Kuala Lumpur sebagai pusat penanaman pokok ganja.

Bagaimanapun perbuatan mereka terbongkar selepas polis melakukan serbuan di premis tersebut Isnin lalu selepas menerima maklumat awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dan merampas pokok ganja yang dianggarkan bernilai RM1.21 juta.

"Orang selalu tanam pokok ganja ini di ladang, tetapi kali ini satu penanaman dadah dalam kondo. Kondo mewah di Mont Kiara menanam pokok ganja, prosesnya lebih kurang macam hidroponik.

"Kita telah berjaya kalau ikut hasil maklumat pada 9 dis kita telah buat serbuan di premis mount Kiara kediaman mewah dan hasil drpd tu kita dapati tempat tersebut telah digunakan sebagai tempat penanaman ganja , kita telah merampas daun ganja 2.6 kilogram, pokok ganja yang dianggarkan 3 hingga 4 kaki tingginya, sebanyak 53 pokok dan benih pokok sebanyak 48 biji. Jadi jumlah keseluruhan dianggarkan RM1.21 juta," kata Mohd Khalil dalam sidang media di George Town pada Khamis.

Hasil pemeriksaan mendapati mereka telah melakukan aktiviti menanam itu selama enam bulan.

Turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios bernilai RM45,000.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 32 tahun itu kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menanam ganja dan Seksyen 39B akta sama kerana mengedar dadah.