PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat bermula 29 April telah menampakkan hasil positif dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Garis lengkung (curve) dalam peningkatan kes baharu COVID-19 berjaya diratakan dengan jumlah kes yang dirawat dan pulih yang juga tinggi menunjukkan usaha agresif barisan hadapan, terutamanya warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya membendung penularan pandemik tersebut ke tahap yang lebih merbahaya.

Malah hampir semua sektor ekonomi kini juga akan dibuka semula.


Timbul persoalan

Tatkala menarik nafas lega dan selesa dengan status perkembangan pandemik ini di Malaysia, timbul beberapa persoalan yang perlu kita fikir dan perhalusi.

Adakah kejayaan dalam mengawal penularan wabak COVID-19 sehingga kini sudah mencukupi untuk negara mencapai angka sifar kes baru pada masa akan datang?

Adakah perlu atau tidak pihak kerajaan ataupun rakyat meneruskan tumpuannya tehadap perang (battle) sehingga pembendungan sepenuhnya terhadap COVID-19 berjaya?

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, beberapa isu seperti ekologi, persekitaran, sanitasi dan kesihatan awam menjadi topik utama yang menarik perhatian pelbagai pihak.

Antara isu panas yang timbul adalah berkenaan dengan pekerja asing yang menjadi majoriti kumpulan pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Pasar Borong Selayang.

Tahap kesihatan dan keadaan persekitaran tempat tinggal pekerja asing ini yang kurang memuaskan meletakkan mereka sebagai antara golongan yang mudah terdedah dan berpotensi tinggi untuk menjangkiti pantas orang lain dengan COVID-19.

Bahkan mereka ini juga boleh mengakibatkan wujudnya kluster baharu dalam penularan gejala penyakit COVID-19.

Berikutan itu, KKM mengambil inisiatif pantas dan menjalankan ujian saringan ke atas pekerja asing terutamanya yang tinggal di sekitar Selayang Baru, Wilayah Persekutuan.

Kebanyakan dari kumpulan ini adalah pekerja Pasar Borong Selayang. Tular di media-media sosial yang mendakwa sebahagian besar pekerja Pasar Borong Kuala Lumpur adalah golongan Rohingya dan dianggarkan lebih 15,000 daripada mereka tinggal di persekitaran Pasar Borong Kuala Lumpur.

Menurut laporan media, setakat ini, KKM telah menjalankan ujian saringan ke atas 15,000 orang yang terlibat dengan Pasar Borong Selayang dan mendapati sebanyak 74 orang positif COVID-19.

Meskipun peratusan bilangan positif COVID-1 kurang signifikan, tetapi jumlah ini perlu dilihat hanyalah di paras ‘ice-berg’ atau tongkol air batu sahaja kerana berkemungkinan besar ada lebih ramai pekerja asing di luar sana yang dijangkiti dengan pandemik ini dan belum melalui ujian saringan.

Ekoran itu, ekoran bimbang dengan kemungkinan penularan yang lebih tinggi, Selayang Baru diisytiharkan sebagai kawasan Zon Merah.

Malah PKP diketatkan (PKPD) di sekitar Pasar Borang Kuala Lumpur yang meliputi Selayang Baru.




Faktor kebersihan

Sememangnya diketahui bahawa antara faktor yang boleh mencetuskan dan mempercepatkan penularan COVID-19 ialah faktor kebersihan atau sanitasi.

Sehubungan itu, kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan operasi sanitasi penyahkuman di semua pasar awam di Kuala Lumpur supaya orang ramai yang mengunjungi pasar-pasar tersebut tidak dijangkiti.

Dalam pada itu, ujian saringan yang dilakukan oleh kerajaan Singapura terhadap pekerja asing telah menunjukkan golongan berkenaan adalah kumpulan yang berpotensi tinggi untuk menjangkiti orang lain dalam negara itu.

Oleh itu, kerajaan Malaysia turut digesa untuk mengalihkan tumpuaNnya kepada kumpulan sasaran baharu seperti pekerja asing, terutamanya kumpulan yang terlibat dengan Pasar Borong Selayang, dalam fasa keempat dan fasa-fasa seterusnya.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pekerja di Malaysia pada tahun 2019 adalah sebanyak 15.32 juta, termasuk 2.3 juta pekerja asing.

Ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa kononnya pendatang asing di Malaysia sudah mencecah empat juta, termasuk lebih sejuta warga Rohingya, yang merupakan hampir 30 sehingga 40 peratus daripada jumlah pekerja.

Daripada jumlah tersebut, hanya 2.3 juta pekerja asing dikatakan memiliki permit kerja dalam sektor pertanian dan pembinaan. Bakinya pula adalah kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Manakala, hampir 180,000 warga Rohingnya dilaporkan tinggal di dalam negara dengan kad berdaftar Suruhanjaya Tinggi Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Sementara itu, timbul pula laporan yang mengejutkan ramai kononnya penutupan Pasar Borong Selayang kerana pekerja asing tidak hadir untuk bekerja menyebabkan kerugian hampir RM1 bilion.

Warga asing, terutamanya kumpulan Rohingya yang bekerja di pasar borong berkenaan didakwa menghilangkan diri kerana tidak mempunyai dokumen atau permit kerja yang sah.

Memandangkan isu ini melibatkan ekonomi negara, maka Presiden Dewan Negara merangkap Presiden MIC, Tan Sri SA. Vigneswaran turut mengesa pihak kerajaan untuk campur tangan dalam perkara ini supaya memastikan Pasar Borong Selayang Baru dikendalikan oleh warga tempatan.

Ia salah satu usaha menyelamatkan negara daripada kerugian RM1 bilion pada masa akan datang.

Seruan beliau ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu tindakan membenci orang asing (xenophobia) atau perkauman tetapi harus sebagai seruan yang bernas demi kepentingan ekonomi.

Malah, tindakan kerajaan dijangka membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan, lebih-lebih lagi dalam masa pasca COVID-19.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), penduduk bekerja di negara ini adalah 15.32 juta orang. Manakala, kadar pengangguran semasa pula adalah 3.3 peratus.

Mengikut laporan JPM, lebih setengah juta yang mampu kerja (511,700) masih menganggur dan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat India sendiri mencecah 4 peratus, sekali gus lebih tinggi berbanding dengan kaum-kaum lain di Malaysia.

Malah angka itu dijangka meningkat lagi pada masa pasca COVID-19.

Meskipun secara umumnya kehadiran pekerja asing mempunyai kebaikan kepada ekonomi negara kerana keperluan dalam beberapa sektor, terutamanya pertanian, perladangan, pembinaan dan perkhidmatan (kedai gunting, restoran dan tekstil), kehadiran mereka tidak harus menjejaskan keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi peluang pekerjaan untuk warga tempatan.

Justeru itu, sambil rakyat menerapkan norma baru sebagai kaedah membendung dan mencegah COVID-19, kerajaan juga diharapkan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pekerja asing sebelum kes baharu jangkitan COVID-19 timbul dalam negara yang berpunca daripada kluster warga asing.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.