Tempoh permohonan rayuan bagi Bantuan Prihatian Nasional (BPN) dilanjutkan sehingga 31 Mei ini bagi membolehkan mereka yang layak tetapi tidak menerima bantuan berkenaan agar membuat rayuan.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan memberi jaminan bahawa rayuan-rayuan itu akan diberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan mereka yang menepati syarat BPN akan mendapat bantuan itu.

Sehubungan itu, bagi memudahkan urusan permohonan rayuan, LHDN memberitahu, semua pejabat LHDN akan dibuka mulai 11 Mei atau 12 Mei ini bergantung pada hari bekerja di setiap negeri.

"LHDN terpaksa menolak permohonan-permohonan yang tidak mematuhi syarat tertentu seperti kelayakan umur, status sebagai pelajar sepenuh masa dan sebagainya," katanya di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, LHDN memberitahu, rayuan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi memastikan mereka yang benar-benar menepati syarat BPN akan menerima bantuan tersebut.

"Kerajaan juga menerima aduan antara permohonan yang ditolak adalah daripada pemohon yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan yang ketara baru-baru ini," menurut kenyataan itu.

Justeru LHDN meminta pemohon berkenaan boleh membuat rayuan untuk pertimbangan semula dengan mengemukakan dokumen sokongan yang membuktikan kehilangan pekerjaan.

Bagi permohonan yang ditolak atas alasan lain, termasuk pemohon atau pasangan mempunyai syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata LHDN, pemohon berkenaan juga boleh membuat rayuan dengan mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jumlah pendapatan terkini.

Rayuan juga katanya boleh dikemukakan melalui e-mel kepada LHDN di [email protected] atau terus berkunjung ke mana-mana pejabat LHDN berhampiran.

Berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan data cukai, pada fasa pertama BPN, LHDN telah meluluskan permohonan 8.3 juta individu membabitkan peruntukan RM9.3 bilion.

Sementara dalam fasa kedua, sebanyak 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan BPN telah diluluskan dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.7 bilion.

Kelulusan dibuat berdasarkan semakan silang dengan pangkalan data yang terkini daripada 10 agensi kerajaan seperti SSM, LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Semakan itu adalah antara lain bagi mengelakkan sebarang penipuan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.