Rundingan mengenai hak-hak Sarawak hendaklah dijalankan dengan secara berhemah dengan Kerajaan Persekutuan melalui saluran yang betul.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, beberapa jawatankuasa perundingan perjanjian ini ditubuhkan di peringkat Kerajaan Pusat dan negeri.

Malah tegasnya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan pihak yang terlibat dalam rundingan ini akan terus meletakkan kepentingan Sarawak dan agenda pembangunan untuk rakyat mengatasi segala-galanya.

"Saya percaya, jawatankuasa ini merupakan landasan terbaik untuk kita berunding dan mendapatkan kembali hak-hak kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18 di sini pada Isnin.

Abdul Taib menyeru rakyat tidak mengambil tindakan melulu di luar batasan undang-undang hingga boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan negeri.

Malah katanya, semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk terus menyokong usaha kepimpinan Kerajaan Sarawak dalam rundingan mengembalikan semula hak-hak Sarawak di bawah MA63.