Jika sebelum ini kuasa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) hanya terhad di kawasan pemeriksaan Kastam dan Imigresen, kini badan itu diberi mandat untuk melaksanakan tugasan sehingga ke garisan sempadan.

Ia susulan penguatkuasaan Akta AKSEM 2017 bermula hari ini sekaligus mengambil tindakan terhadap penjenayah.

"Sebelum ini, kuasa AKSEM terhad di pintu keluar masuk sempadan yang turut mempunyai kawasan bebas cukai, tetapi dengan penguatkuasaan akta, ia diyakini mampu mencegah dan menutup ruang buat penyeludup dan penjenayah rentas sempadan sekaligus mengukuhkan kawalan sempadan negara," kata Ahli JawatankuasaTertinggi Mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara, Datuk Ahmad Zaini Japar.

Penguatkuasaan akta tersebut dibuat berdasarkan subseksyen 1(2) Akta AKSEM 2017 yang membolehkan AKSEM melaksanakan operasi sehingga ke sempadan darat negara termasuk Sabah dan Sarawak.

AKSEM dibentuk menerusi kerjasama lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf Tembakau Negara.

Sementara itu, Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, penguatkuasaan akta baru itu memberikan mereka lebih kuasa dalam mengekang penyeludupan.

"AKSEM tidak tertumpu di pintu sempadan negara sahaja malah akan turut menjalin kerjasama dengan agensi lain seperti Imigresen dan Kastam bagi mengekang jenayah rentas sempadan," katanya.