Keputusan untuk menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 oleh kerajaan dilihat sebagai tindakan yang tepat.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan itu menepati polisi dan dasar kerajaan yang diguna pakai selama ini iaitu pelajar diwajibkan lulus dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah bagi melayakkan mereka untuk menerima sijil SPM.

"Dari segi dasar ia memenuhi keperluan dan keputusan itu tepat kerana ia bertetapan dengan dasar dan pelaksanaan kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan," katanya ketika diminta mengulas berkaitan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka dan Kenduri Kesyukuran sempena perkahwinan anaknya di Pusat Komuniti Padang Kerasak di sini, pada Khamis.

Semalam, Dr Ahmad Zahid mengumumkan Kabinet telah memutuskan tiada kelonggaran berkaitan Bahasa Melayu diizinkan untuk sebarang jawatan awam.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir berkata bekas pelajar yang belajar di Sekolah Antarabangsa perlu memenuhi syarat kelayakan termasuk lulus Bahasa Melayu sekiranya ingin menyertai sektor awam di negara ini.

"Sekolah Antarabangsa tidak mengikut kokurikulum kebangsaan, jadi syarat lulus Bahasa Melayu itu tidak dikenakan terhadap mereka. Tetapi, sekiranya mereka ingin berkerja dalam sektor awam di Malaysia, mereka perlu lulus Bahasa Melayu.

Itu adalah syarat yang perlu mereka ikut. Kalau ingin sertai sektor awam, mereka boleh menduduki kertas subjek Bahasa Melayu SPM secara tunggal yang dijalankan dua kali setahun iaitu pada bulan Jun dan November oleh Kementerian Pendidikan," katanya.

Mahdzir berkata bagi pelajar yang belajar di sekolah swasta, syarat lulus Bahasa Melayu itu tidak menjadi masalah kerana setiap sekolah mempunyai guru Bahasa Melayu yang bertauliah.

"Semua sekolah swasta, sekolah jenis kebangsaan Cina dan India ada guru Bahasa Melayu sendiri dan syarat lulus subjek Bahasa Melayu memang wajib kerana ia mengikut kokurikulum kebangsaan ," katanya.

-- BERNAMA