Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hanya mampu bertahan dalam masa sebulan, jika tidak melakukan pinjaman bank untuk mendapatkan bantuan tunai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Datuk Abdul Aziz Abu Bakar berkata berdasarkan anggaran beliau, ketiga-tiga contoh syarikat PKS yang diberikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu masih sukar untuk kekal bertahan jika tempoh PKP dilanjutkan lagi.

Kira-kira berkenaan dibuat berdasarkan 'assumption' atau andaian sekiranya 60 peratus daripada kos keseluruhan syarikat berkenaan adalah bayaran upah.

"PKS, baik yang kecil mahupun sederhana akan berdepan masalah besar jika PKP dilanjutkan lebih daripada sebulan," jelas Abdul Aziz kepada Astro AWANI.

Bagaimanpun beliau berharap syarikat-syarikat tersebut dapat meneruskan operasi masing-masing bermula Mei ini.

Pada masa sama, beliau percaya bantuan yang disalurkan kerajaan berkenaan setidak-tidaknya dapat membantu golongan usahawan buat ketika ini, agar mereka setidak-tidaknya dapat menarik nafas lega untuk sementara waktu.

BACA: PRIHATIN TAMBAHAN: Memahami bantuan untuk PKS, ini contoh diberikan Perdana Menteri

"Pada kebiasaannya 70 peratus daripada kos PKS sektor perkhidmatan adalah bayaran upah, jadi subsidi ubah yang diumumkan Perdana Menteri sememangnya sangat membantu perniagaan seperti ini," kata beliau kepada Astro AWANI.

Selain kos upah, bayaran sewa bulanan dan ansuran pinjaman menjadi antara tiga kos perniagaan paling besar oleh kebanyakan PKS tempatan.

Beliau juga percaya subsidi upah yang diumumkan pada Isnin itu benar-benar cuba untuk membantu perniagaan yang kecil.

Pada Isnin, Perdana Menteri mengumumkan langkah tambahan bagi membantu sektor perniagaan yang terkesan teruk akibat penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

Beliau mengumumkan subsidi upah sebanyak RM600, RM800 dan RM1,200 masing-masing untuk syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, antara 76 hingga 200 orang dan bawah 75 orang.