Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini menyumbangkan bekalan perubatan melalui inisiatif Wisma Putra, Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES).

Bantuan yang diterima itu terdiri daripada 14,000 unit cecair sanitasi tangan yang akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 Wisma Putra di dalam negara serta di perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara.

Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Wisma Putra di sini diwakili Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith manakala Wisma Putra diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyaksikan majlis penyampampaian itu berkata, bantuan merupakan tanda keakraban hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan UAE.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan serta kepimpinan tertinggi kerajaan UAE.

Selain menyumbangkan peralatan perubatan melalui MDES, Kerajaan UAE turut bermurah hati menyumbangkan pelbagai lagi bentuk peralatan perubatan kepada Kerajaan Malaysia. - Foto Pejabat Menteri Luar

“Sesungguhnya, sumbangan ini membuktikan keakraban hubungan dua hala Malaysia-UAE yang telah terjalin sekian lama.

“Kerjasama dengan UAE hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi bentuk kerjasama yang dijalinkan Malaysia dengan rakan negara di seluruh dunia bagi menangani cabaran krisis COVID-19.

“Ia bukan sahaja bertujuan memudahcara urusan rakyat kita yang terkandas di luar negara, tetapi juga bagi mendapatkan ubat untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Majlis yang berlangsung di Wisma Putra di sini diwakili Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith (kiri) manakala Wisma Putra diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (kanan). - Foto Pejabat Menteri Luar

Selain menyumbangkan peralatan perubatan melalui MDES, kerajaan UAE turut menyerahkan pelbagai lagi bentuk peralatan perubatan kepada kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Wisma Putra.

Ia termasuk kit ujian antigen yang diterima 30 Mac lalu selain 20,000 unit kit ujian RT PCR; 37,000 unit kit ujian IgC IgM; 20,000 unit Viral Transport Medium Swab dan satu unit Automated Extraction Machine.