Sikap toleransi pelbagai kaum di Malaysia merupakan kunci utama kejayaan negara yang perlu dikekalkan dalam usaha memantapkan kemakmuran.

Ujar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia perlu terus dipupuk agar pembangunan negara tidak ‘tersekat’ di samping memelihara hubungan antara satu sama lain agar keuntungan yang diperoleh negara boleh dikongsi bersama.

Memberi contoh negara-negara bergolak, meskipun mempunyai agama yang sama, namun tiada pendamaian dan berperang sehingga ramai terbunuh dan cedera kerana bedilan roket dan meriam.

Jelasnya, ini semua berlaku berikutan tiada sikap toleransi antara satu sama lain selain menegaskas sikap berkenaan yang sedia ada di negara perlu dikekal dan dipupuk meskipun berlainan agama, bangsa dan negara.

“Kita perlu ada sifat toleransi kepada mereka yang berlainan daripada kita sama ada kelainan itu dari segi bangsa, agama ataupun budaya.

"Kita sebenarnya mendapat untung yang besar kerana di negara kita terdapat begitu banyak kaum dan suku kaum.

“Dan demikian ramainya kaum-kaum di Malaysia ini sehingga kita boleh mendakwa bahawa negara kita ini ‘truly Asia’,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Seremban, malam Ahad.

Menurut Dr Mahathir, seluruh dunia mengiktiraf bahawa Malaysia mencerminkan Asia kerana terdapat berbagai kaum benua itu di negara ini.

“Kita harap dengan adanya pelbagai kaum dan sumbangan mereka kepada budaya, bahasa dan pencapaian ekonomi kita, maka negara kita akan terus maju,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, ujarnya, Malaysia sebuah negara yang aman meskipun penduduknya mempunyai tiga budaya utama, Melayu, Cina dan India serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

Ujarnya, bukan sahaja meraikan setiap perayaan, malah semangat toleransi sesama anggota masyarakat berbilang bangsa juga mampu membina sebuah negara yang membangun dengan progresif.

Majlis anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri sembilan ini dihadiri lebih 20,000 masyarakat.

Hadir sama Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; serta Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Majlis ini turut diserikan dengan persembahan Tarian Singa Muar yang merupakan tarian singa terbaik dunia serta persembahan kebudayaan yang mempamerkan keunikan budaya di negara ini.