Kesukaran untuk mendapatkan hand sanitiser atau cecair pembasmi kuman tangan di pasaran ketika ini membuatkan ada yang mengambil inisiatif untuk menghasilkannya sendiri menggunakan bahan sedia ada.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang mahu mencegah COVID-19 dengan menghasilkan cecair pembasmi kuman tangan menggunakan cecair pembasmi kuman dan air suling steril.

Namun katanya, campuran kedua-dua bahan itu akan menyebabkan ia tidak menepati kelikatan yang sepatutnya dan menjadi tidak asli seperti sedia ada.

“Pendapat sayalah, kalau hand sanitiser ni dia campurkan dan cairkan guna air suling... itu pun kira hand sanitiser, tapi kelikatan dia rendah.

“Macam kita buat teh tarik... kita bahagi tiga cawan teh tarik (dan ditambah air), jadi tak aslilah. Ceroilah (cair).

"Saya rasa tak salah... tapi tak dapat concentration yang sepatutnya. Dia tak patut bahagi sepuluh. Nama dia jadi 'sanitiser cair',” ujar beliau.

Noor Azmi berkata demikian semasa ditemui di Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai pada Sabtu.

Sebelum ini tular di media sosial mencadangkan orang ramai supaya menghasilkan sendiri cecair pembasmi kuman tangan menggunakan dua bahan mudah iaitu dari cecair pembasmi kuman berjenama dan ditambah air suling.

Ia ekoran permintaan yang tinggi sehingga menyebabkan cecair itu kehabisan stok di kebanyakan farmasi dan pasar raya besar.

Campuran dua bahan ini didakwa lebih murah dan sama efektif untuk membasmi kuman bagi langkah berjaga-jaga mencegah wabak COVID-19 yang kini menjadi kebimbangan di Malaysia dan di seluruh dunia.