Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud hari ini menerima suratcara pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama empat tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, di sini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran dan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif turut hadir pada istiadat tersebut.

Ini merupakan penggal kedua Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pada 1 Mac 2014, Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh setelah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb 2014.

Abdul Taib memegang jawatan ketua menteri selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981 setelah menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya'kub.

Abdul Taib, anak sulung daripada 10 beradik kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub, dilahirkan pada 21 Mei 1936.

Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak.

Abdul Taib menceburi politik pada 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966.

Beliau pernah dilantik sebagai menteri perhubungan dan kerja raya negeri serta menteri pembangunan dan perhutanan negeri.

-- BERNAMA