TAHUKAH anda, plastik sekali guna mengambil masa 400 hingga 1,000 tahun untuk terurai dan ia menyumbang kepada pencemaran alam sekitar?

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis menyeru orang ramai agar menghindarkan penggunaan plastik sekali guna yang membawa kesan buruk kepada persekitaran.

“Tanggungjawab memelihara dan memulihara alam sekitar menuntut kerjasama semua pihak.

“Sampah yang kita buang di perairan negara kita mungkin akan dihanyutkan ke negara jiran atau sebaliknya,” katanya pada program Plastic Free Ocean (PFO) yang diadakan di Pulau Tioman, Pahang, pada Selasa.

BACA: Malaysia sebagai 'tong sampah' dunia?

BACA: Lambakan sisa plastik AS di Pelabuhan Klang - Laporan

Pada program itu, Isnaraissah turut menyelam ke dasar laut Pulau Tioman bersama-sama penyelam sukarelawan bagi mengutip sampah di dasar laut seperti ghost net (jala ikan yang dibuang atau ditinggalkan), sisa plastik dan puntung rokok.

Isnaraissah dan penyelam sukarela menunjukkan sampah-sarap yang dipungut dari dasar laut menerusi Program PFO. Foto MESTECC

Beliau juga menyamakan penggunaan plastik ini dengan krisis pencemaran udara yang menyebabkan masalah jerebu yang melanda negara ini.

“Isu alam sekitar yang merentas sempadan negara memerlukan kerjasama erat daripada pelbagai pihak dan bukannya hanya di peringkat kebangsaaan, malah di peringkat antarabangsa juga,” tambahnya.

Program PFO yang dilaksanakan MESTECC merupakan kick-off kepada 'Program Hindari Plastik Sekali Guna' bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2019 yang bermula pada 16 September hingga 19 Oktober depan.

Isnaraissah (lima, kanan) bersama-sama penyelam sukarela yang menyertai Program PFO pada Selasa. Foto MESTECC


PFO melibatkan pembersihan pantai yang mengguna pakai Clean Coastal Index (CCI) daripada Institut Maritim Malaysia (MIMA) dan merupakan satu mekanisme pengukuran, di mana ‘rating’ akan diberikan selepas sampah sarap dikumpulkan dan dinilai.

Pada Oktober 2018, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) melancarkan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 bagi mengurangkan sisa plastik dalam negara termasuk dasar penggunaan penyedut minuman plastik.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata pelan itu akan turut menyenaraikan cadangan untuk pengeluar produk plastik konvensional yang berasaskan hidrokarbon untuk mengubah kepada kaedah mesra alam.