Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengetengahkan satu pendekatan holisitik dengan mengesyorkan supaya pekerja dalam industri pelancongan boleh bekerja di mana-mana negara rakan ASEAN yang lain.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, bagaimanapun keputusan itu belum dimuktamadkan tetapi berpendapat langkah tersebut mampu memberikan keuntungan kepada mana-mana negara termasuk Malaysia.

Beliau berkata, pendekatan itu turut melibatkan bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi urusan dokumentasi pekerja asing bekerja di negara ini.

"Kita tidak ada masalah, kalau kita lihat dari segi pelancong banyak yang masuk.

"Bagaimanapun, ini tertakluk kepada KDN, mereka punya kuasa dan kita boleh cadang, kata putus daripada KDN," katanya.

Beliau berkata demikian bagi memaklumkan hasil Forum Menteri-Menteri Pelancongan Negara ASEAN di Ha Long City, Vietnam yang dihadirinya pada 17 Januari lalu.

Antara intipati forum pelbagai hala itu adalah bagi membincangkan pelan strategik pelancongan ASEAN 2016-2025, mempromosi dan pemasaran pelancongan ASEAN serta kepelbagaian produk ASEAN.

"Dalam forum itu, kita syorkan supaya pekerja di pusat-pusat pelancongan di negara ASEAN ini contohnya Malaysia boleh bekerja di Thailand, Indonesia, Filipina dan sebagainya.

"Begitu juga mereka pun boleh bekerja di Malaysia," katanya.