Pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Abdul Rahman bersetuju dengan cadangan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) untuk membangunkan model pendidikan ‘Bangsa Johor’.

Syed Saddiq dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkata perpaduan dan pendidikan berkualiti adalah penentu masa depan negara.

“Ciri-ciri yang baik dari sekolah vernakular harus diaplikasikan di sekolah Bangsa Johor ini. Pendidikan berkualiti perlu diutamakan tidak kira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata, semangat perpaduan bermula sejak kecil di bangku sekolah.

“Sekiranya rakyat diasingkan mengikut bangsa sejak dari bangku sekolah, perpaduan nasional secara menyeluruh akan tinggal sekadar angan-angan,” kata Syed Saddiq.


Tambahnya, Johor tidak perlu menunggu untuk memulakan modul ini, sebaliknya ia perlu menjadi contoh yang baik dan bertindak terlebih dahulu.

“Saya pasti selepas kita merdeka, generasi sekarang sudah bersedia untuk lari daripada stigma bahawa sekolah vernakular merupakan satu keperluan untuk menjamin kesetiaan kepada negara,” katanya.

Dalam satu sesi rakaman dialog yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers, TMJ mencadangakan bahawa modul pendidikan untuk menggalakkan perpaduan.

“Pada masa akan datang, tidak ada lagi sekolah India, Cina, Melayu di negeri Johor.

“Tetapi (negeri ini) akan ada sekolah Bangsa Johor. Daripada kecil mereka akan diajar macam mana untuk bersatu, menghormati agama antara satu sama lain, menghormati bangsa dan kaum-kaum lain,” kata TMJ dalam sesi dialog itu.