Polis Johor menahan suspek utama bersama tiga lagi lelaki berhubung kes samseng jalanan menggunakan parang di lebuh raya Pasir Gudang pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata hasil siasatan pihaknya berjaya mengesan suspek utama berusia 31 tahun dan tangkapan dibuat di kawasan sekitar Simpang Renggam pada jam 5.30 petang Selasa.

Suspek utama turut ditahan bersama tiga lagi lelaki yang dipercayai terbabit menjalankan jenayah samun.

Seorang lagi suspek yang masih bebas masih diburu dan tangkapan semua suspek, polis percaya menyelesaikan 11 kes jenayah samun sekitar Johor Bahru.

Mohd Khalil berkata, kes disiasat mengikut seksyen 427/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah.

Jika sabit kesalahan semua suspek boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Video berdurasi satu minit 24 saat menunjukkan dua lelaki keluar daripada kereta beberapa kali menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengguna jalan raya selain seorang daripadanya menghentak cermin hadapan kenderaan dengan parang mula tular di laman sosial sejak Isnin.

Kejadian itu dipercayai berikutan rasa tidak berpuas hati kerana suspek tidak diberi ruang untuk memotong dalam keadaan jalan sesak.