Polis berjaya memberkas suspek utama yang dipercayai terlibat dalam lapan kes curi duit tabung masjid dan peralatan masjid di sekitar Perak dan Kedah sejak pertengahan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, suspek, seorang lelaki berusia 53 tahun diberkas di Semanggol, Kerian kira-kira jam 6.45 petang Jumaat lalu.

Menurutnya, suspek mengaku menggunakan sekeping plastik panjang yang dililit pita pelekat sebagai peralatan untuk mencuri duit tabung masjid.

“Tangkapan akan menjolok keping plastik tersebut ke dalam lubang tabung masjid dan mencuri duit dari tabung masjid yang melekat pada pita pelekat tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Barudin berkata, tangkapan itu adalah susulan laporan yang diterima pihaknya pada 8 Januari lalu mengenai kelibat seorang lelaki yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Shukuriah, Telok Bakong, Bota.

Menurutnya, suspek dilihat memasuki masjid tersebut melalui pintu pagar utama dan mencuri duit tabung sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara warna putih.

“Ekoran daripada kejadian itu, satu pasukan khas telah ditubuhkan melibatkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Perak Tengah bagi mengesan dan menangkap suspek,” ujarnya.

Katanya, antara barangan yang turut dirampas ketika tangkapan ialah sebuah kereta Proton Iswara, sekeping plastik putih berukuran empat kaki panjang, empat gulung pita pelekat, sebuah projektor dan batang anak kunci yang telah diubah suai.

Menurut Barudin, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 13 rekod kesalahan lampau dan satu rekod di kehendaki polis (Wanted).

“Suspek juga pernah dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan di buang daerah ke daerah Kuantan pada tahun 2016,” katanya.

Katanya, suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis juga menyeru orang awam terutamanya pihak kariah/jemaah masjid- masjid khasnya dan rumah-rumah ibadat amnya untuk bekerjasama mengetatkan kawalan keselamatan harta benda di rumah-rumah ibadat dan sentiasa menyalurkan maklumat akan pelakuan jenayah di rumah-rumah ibadat khususnya,” kata Barudin.