Suspek utama kes bekas calon Anggota Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Shah Alam yang maut ditetak di sebuah pangsapuri di Seksyen 7 di Shah Alam pada Isnin, menyerah diri kepada polis pada Selasa.

Lelaki itu tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 10.30 malam bersama peguamnya Gerard Lazarus.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mahkamah Majistret Shah Alam telah mengeluarkan perintah reman ke atasnya sehingga Selasa hadapan.

"Siasatan sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek lain serta mengumpul bahan bukti.

"Polis meminta suspek lain supaya ikut menyerah diri bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu, merujuk kejadian yang berlaku pada petang Isnin di tingkat bawah Rumah Pangsa Nilam Sari itu.

Tambahnya, setakat ini, empat lelaki termasuk suspek utama serta seorang wanita telah ditahan untuk siasatan.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa, M. Thiyahu, yang dijalankan pada Selasa mendapati punca kematian adalah akibat luka parah di bahagian kepala.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menyalurkan maklumat terus kepada pegawai penyiasat, ASP K. Vignesh Kumar di talian 012-8377756, IPD Shah Alam 03-55202222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

BACA: Empat ditahan bantu siasatan kes bunuh bekas calon AMK

Pada Selasa, polis menyiarkan gambar suspek utama kes itu dikenali sebagai Ozziram M. Devan yang dikesan beralamat terakhir di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang, bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang Isnin itu, Thiyahu, 30 tahun, diserang tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Waja bersenjatakan parang, sebelum dia dibawa oleh orang ramai ke Hospital Shah Alam.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki, dan meninggal dunia kira-kira 6.30 petang hari sama ketika menerima rawatan.