Polis sedang menyiasat kemungkinan seorang Datuk yang ditahan berhubung kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, merupakan 'mastermind' di sebalik kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat ketika dihubungi memberitahu, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati suspek tersebut mengenali mangsa.

Selain itu katanya, polis juga tidak menemui sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan taman permainan, Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, lokasi mangsa dipercayai diculik.

"Setakat ini, kita telah menahan tujuh individu termasuk seorang suspek bergelar Datuk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kejadian itu hanya disedari oleh ahli keluarga mangsa yang menerima panggilan daripada seorang lelaki yang meminta wang tebusan S$50 juta (RM154 juta) kira-kira pukul 10.30 pagi pada 10 Jun lalu.

Mangsa berusia 55 tahun.


BACA: Tujuh suspek ditahan kes culik, bunuh Datuk Seri

Mengulas lanjut, Fadzil memberitahu, penahanan tujuh lelaki termasuk seorang lelaki dipercayai dalang utama kes itu pada Jumaat lalu membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan belukar di Baru 27, Jalan Rawang, Bestari Jaya.

Berdasarkan keadaan mayat mangsa yang telah reput, beliau percaya, mangsa telah dibunuh antara tiga hingga empat hari sebelum ditemukan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Katanya, bedah siasat dijangka selesai dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Dalam pada itu katanya, polis masih mencari seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Sheikh Ismail Sheikh Hassan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Lelaki itu, katanya, beralamat terakhir di No. J-2-01 and J-3-29, Teratai Apartment, Bukit Beruntung, Rawang.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi balai polis berhampiran dengan segera," katanya.