Seorang suri rumah berusia 51 tahun ditahan kerana merancang serangan terhadap pengundi bukan Islam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Suspek yang ditahan di Puchong pada 9 Mei lalu itu turut merancang merempuh rumah ibadat menggunakan kereta yang dimuat dengan tong gas sebagai bahan letupan.

Wanita berkenaan merupakan antara 15 suspek terbabit dalam kumpulan pengganas yang ditahan antara 27 Mac hingga 9 Mei lalu dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan membabitkan enam suspek warga tempatan, dua warga Filipina bertaraf penduduk tetap, empat warga Filipina, seorang warga Bangladesh serta suami isteri warga Afrika Utara.

"Dalam operasi itu, kami menahan seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun disyaki merancang melancarkan serangan 'lone wolf' menggunakan 'molotov cocktail' ke atas gereja, pusat hiburan dan kuil Hindu di sekitar Kuala Lumpur.

“Suspek juga telah menjalankan tinjauan dan merakam lokasi-lokasi sasaran tersebut serta membuat rakaman video amaran untuk melancarkan serangan dan muat naik video itu dalam tiga kumpulan Whatsapp dan satu kumpulan Telegram,” katanya dalam kenyataan.

Individu yang ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas Daesh.
Tangkapan pertama pertama pada 27 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan seorang warga tempatan yang diusir dari Turki.

Suspek berlepas ke Turki pada 31 Januari lalu sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu kerana disyaki cuba menyusup masuk ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh.

Tangkapan kedua pula dilakukan pada 2 April lalu di Gombak, Selangor membabitkan suami isteri warga Afrika Utara masing-masing berusia 22 dan 25 tahun yang disenarai hitam oleh pihak berkuasa negara berkenaan kerana disyaki menjadi anggota kumpulan pengganas Daesh.

"Mereka menyusup masuk ke negara ini pada 16 Mac lalu untuk transit sebelum berlepas ke negara ketiga. Kedua-dua suspek diusir pulang ke negara asal pada 14 April lalu," kata Mohamad Fuzi.

Polis mengiringi individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan Daesh.
Tangkapan ketiga dilakukan pada 2 April lalu di Kuala Lumpur membabitkan seorang warga Bangladesh berusia 41 tahun yang juga pemilik restoran di Bukit Bintang, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan senjata api bagi kegunaan anggota pengganas antarabangsa dan tersenarai di bawah 'notis merah' Polis Antarabangsa (Interpol).

Tangkapan seterusnya membabitkan dua daripada empat individu dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam rancangan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam dan merancang membunuh anggota polis.

"Suspek, Nor Farkhan Mohd Isa, yang dalam perancangan akhir melarikan diri ke negara jiran ditahan pada 20 April lalu di Johor Bahru, Johor, manakala seorang lagi suspek, Muhamad Faizal Muhamad Hanafi pula ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Meranti, Pasir Mas, Kelantan pada 23 April lalu. Dua lagi suspek masih bebas.

"Di Sabah, tujuh suspek membabitkan seorang warga tempatan, dua warga Filipina yang mempunyai taraf penduduk tetap serta empat warga Filipina yang berusia antara 22 hingga 49 tahun ditahan pada 24 dan 26 April lalu kerana merancang mengumpul senjata api di negeri terbabit bagi tujuan berjihad di Marawi, Filipina,” katanya lagi.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan atas kesalahan berkaitan dengan keganasan dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Mereka juga disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), manakala tiga suspek warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.