Tujuan Penang Forum menghantar surat kepada UNESCO ialah untuk meminta bantuannya mengambil langkah proaktif bagi melindungi tapak Warisan Dunia George Town, bukan untuk mengeluarkannya daripada status itu.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Penang Forum berkata surat itu bukan untuk membuka mata UNESCO, tetapi mengenai cadangan pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bersempadan dengan zon warisan berkenaan yang boleh menyebabkan George Town kehilangan statusnya sebagai tapak warisan dunia.

"Walaupun sudah beberapa bulan badan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan risiko yang boleh berlaku kepada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan kerajaan negeri Pulau Pinang, namun tiada sebarang tindakan diambil untuk memastikan perancangan yang sedang dibuat itu tidak memberi risiko kepada tapak warisan kita.

"NGO berkenaan diketepikan dan potensi yang bakal dialami bandar raya bersejarah kita telah tidak dipedulikan," katanya.

Semalam, GTWHI meredakan kebimbangan bahawa George Town boleh kehilangan status Tapak Warisan Dunia kerana surat itu.

Surat bertarikh 23 Jun setebal 28 muka surat itu, dengan empat muka surat teks, 13 muka surat gambar dan 11 muka surat lampiran bertajuk "Melaka and George Town World Heritage Property: Request for Unesco Advisory Mission and Impact Assessment of Proposed Master Plan in George Town, Penang" dihantar kepada badan warisan dunia itu bagi menyuarakan kebimbangan Penang Forum tentang cadangan pelaksanaan projek mega berkenaan.

Penang Forum, sekumpulan NGO yang berpejabat di Pulau Pinang, mendakwa PTMP mengancam nilai universal terkemuka yang terdapat pada tapak warisan dunia George Town.

Menurut kenyataan itu, GTWHI, sebagai sebuah agensi negeri yang diamanahkan tugas melindungi dan memulihara tapak warisan dunia, sepatutnya menghubungi UNESCO dan membawa kepada pengetahuannya kesan yang berpotensi untuk timbul daripada pembinaan hab pengangkutan besar di Sia Boey, termasuk pembinaan LRT dan monorel di sepanjang sempadan zon penampan tapak warisan berkenaan.

"Memandangkan GTWHI tidak menghubungi UNESCO, Penang Forum berasa bertanggungjawab untuk berbuat demikian. Objektif tindakan ini, jauh daripada untuk memberi risiko kepada penarikan balik status tapak warisan dunia daripada Pulau Pinang, sebenarnya bertujuan mengelak kemungkinan tindakan seperti itu diambil.

"NGO bekerja keras selama hampir 30 tahun dan akan terus berganding bahu dengan semua pihak, di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, untuk menyelamatkan warisan George Town," katanya.

Penang Forum berkata adalah suatu cara berhemat apabila langkah proaktif dan pencegahan diambil dengan meminta UNESCO menghantar misi penasihat ke Pulau Pinang untuk membuat pemeriksaan terhadap sempadan harta George Town yang ditetapkan dan membantu membuat penilaian mengenai kesan secara bebas terhadap cadangan pelaksanaan PTMP itu.