Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kagum dan memuji ketahanan kereta buatan Malaysia, Proton Saga.

Tun Mahathir dihantar oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor selepas sesi pertemuan selama 90 minit berlangsung bersama baginda di Istana Bukit Serene.

Kereta Proton Saga biru yang dipandu sendiri Sultan Ibrahim itu adalah pemberian Tun Mahathir kepada Almarhum Sultan Iskandar ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Kereta ini masih berada dalam keadaan baik, malah tidak mengalami sebarang masalah sepanjang 22 kilometer perjalanan dari Istana Bukit Serene ke lapangan terbang.

“Sudah berusia 34 tahun dan sudah menempuh perjalanan 22,000 kilometer tapi masih mampu berfungsi dengan baik,” kata Tun Mahathir

Tambah beliau lagi, kereta nasional itu dahulu hanya berharga RM17,000.

Terdahulu, Tun Mahathir memenuhi jemputan Sultan Johor di Istana Bukit Serene.

Ini adalah pertemuan pertama antara mereka selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.