Kerajaan perlu memperinci mekanisme pelaksanaan terlebih dahulu berikutan cadangan menggunakan bil elektrik bagi menentukan golongan yang layak menerima subsidi petrol RON95 supaya tidak berlaku ketirisan dan keciciran.

Menurut penganalisis ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, bagi menjayakan sistem itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu berkerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam mewujudkan jaringan sistem atas talian yang tepat untuk golongan sasar yang layak untuk menerima subsidi petrol itu.

Pada Sabtu, Timbalan Menteri KPDNKK, Chong Chieng Jen mencadangkan hanya golongan dalam kategori B40 dengan bil elektrik bulanan antara RM100 dan RM200, layak mendapat subsidi tersebut.

Bagaimanapun, menurut Mohd Azizuddin, perkara itu perlu diperkemaskan kerana dibimbangi berlaku penipuan daripada individu yang mengambil kesempatan.

“Saya ingin mempersoalkan balik mekanisme yang terbaik untuk pembayaran rebat seperti (yang dicadang). Kita bicara tentang (pengguna) di rumah sewa orang lain dan sebagainya.

“(Bagaimana pula) dengan orang yang ada dua atau tiga buah rumah? Mungkin dia guna bil rumah sewa dia daripada rumah dia sendiri. Maka, mekanisma ini perlu dijelaskan dengan teliti supaya tidak disalahgunakan, (kerana) yang rugi adalah kerajaan sendiri sebab sumber itu daripada wang kerajaan,” ujarnya.

Soal Mohd Azizuddin, bagaimana nanti pihak terbabit yang menguruskan pembelian itu boleh mengenal pasti mereka yang layak untuk membeli petrol RON95, sebelum cadangan itu dibawa ke Kabinet bulan depan.

Kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik dari segi rebat yang akan diberikan kepada golongan ini menikmati subsidi bulanan sebanyak RM30 atau subsidi sebanyak 30 sen untuk setiap liter petrol RON95 sehingga 100 liter setiap bulan.

Bagi penunggang motosikal, subsidi akan diberi sebanyak RM12 setiap bulan.

“Rakyat perlu diperjelaskan dalam konteks ini supaya mekanisme itu juga difahami dan boleh dimanfaatkan rakyat khususnya golongan B40, yang memerlukan rebat ini untuk ringankan beban hidup mereka.

Mekanisme subsidi bersasar bagi minyak petrol RON95 sebelum ini dicadangkan untuk dilaksanakan pada Julai tahun ini tetapi ia ditangguhkan.

Ketika ini, kerajaan secara purata membelanjakan RM133 juta setiap minggu untuk subsidi minyak.