Suasana di pekarangan Masjid Al Ansar, Kampung Selalang di sini selepas solat sunat Aidiladha bertukar riuh dan sedikit gempar apabila seekor lembu korban masjid itu terlepas daripada ikatan.

Lembu berwarna putih itu berlari mengelilingi pekarangan masjid untuk melepaskan diri namun gagal.

Lebih menggemparkan apabila, lembu korban itu cuba mengejar jemaah masjid yang mahu menangkapnya.

Bagi Timbalan Pengerusi JKP Masjid Al Ansar Kampung Selalang, Zakaria Kasim, lembu korban itu berjaya di tangkap semula dan tiada insiden buruk berlaku.

"Suasana di pagi Aidiladha ini terdapat beberapa isu seekor lembu terlepas dari ikatan dan telah mengejar beberapa jemaah. Bagaimanapun suasana terkawal," katanya.

Sebanyak dua ekor lembu disumbangkan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh.

Bagi kaedah penyembelihan juga sama seperti tahun sebelum ini.

Suasana riuh selepas seekor lembu korban terlepas tali di pekarangan Masjid Al Ansar Kampung Selalang, Sarikei.