Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan di Jalan Pasir Mas, Rantau Panjang berhampiran Hospital Pasir Mas awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner ASP Abdullah Mohd Piah yang mengesahkan kejadian berkata kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan motosikal yang dinaiki mangsa.

Dalam kejadian sekitar 6.45 pagi, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Ab Azit, 22, dan isterinya Nur Syafikah Jafar, 22.

Keadaan motosikal yang ditunggang Mohd Ab Azit dan isterinya Nur Syafikah Jafar.
"Hasil siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dari Rantau Panjang ke Pasir Mas.

"Setibanya di tempat kejadian, kereta berkenaan ingin memotong kenderaaan lain di laluan yang sama.

"Bagaimana pun pemandunya gagal mengawal kenderaan hingga merempuh motosikal yang dinaiki pasangan berkenaan dari arah bertentangan," kata Abdullah dalam satu kenyataan di sini.

Pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian manakala janin berusia 5 bulan dalam kandungan terkeluar akibat impak kemalangan.

Pemandu kereta itu pula cedera parah.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.