Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar sebuah makmal mini memproses dadah selepas menahan sepasang suami isteri di sebuah pangsapuri di Ulu Klang, pada Khamis.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam operasi jam 1.10 tengah hari itu, pihaknya menemui sebuah bilik digunakan sebagai makmal di rumah itu.

Katanya, selain bahan kimia dan peralatan memproses dadah, turut ditemui di dalam bilik itu adalah sebatang pokok ganja setinggi dua meter.

Beliau berkata, JKDM turut menemui 500 biji pil ekstasi ketika penggeledahan dilakukan di kediaman berkenaan.

"Ketika serbuan dilakukan, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang merupakan anak pasangan berkenaan turut berada di kediaman itu.

"Pasangan masing-masing berusia 32 tahun itu yang didapati positif dadah direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39b serta Seksyen 6b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Selain itu, kedua-dua mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) kerana memasukan dadah ke dalam badan, katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan malam Khamis, JKDM turut merampas sebuah bungkusan berisi dadah yang dalam perjalanan untuk dihantar ke New Zealand melalui sebuah syarikat kurier di Seri Kembangan.

"Siasatan lanjut mendapati, bungkusan antarabangsa yang dilabelkan sebagai alat tulis itu mengandungi serbuk kristal putih dibungkus dalam plastik lutsinar.

"Pemeriksaan lanjut mendapati serbuk berkenaan dipercayai dadah methamphetamine dianggarkan seberat 600 gram yang bernilai hampir RM24,000," katanya.