Timbalan Pendakwaraya Kanan bagi perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Gopal Sri Ram telah disahkan negatif COVID-19.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berumur 76 tahun itu memaklumkan mengenai keputusan itu kepada Bernama menerusi satu kenyataan ringkas.

"Saya disahkan bersih. Betul-betul baik,” kata Sri Ram.

Ditanya sama ada pihak pendakwaan menerima sebarang arahan daripada Mahkamah Tinggi mengenai penangguhan perbicaraan 1MDB susulan arahan kawalan pergerakan, Sri Ram berkata "setakat ini tiada sebarang perkembangan terbaharu".

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia akan diletakkan di bawah arahan kawalan pergerakan seluruh negara mulai 18 Mac hingga 31 Mac, 2020, berikutan penularan wabak COVID-19.

Arahan itu, yang pertama kali dalam sejarah negara, diumumkan oleh Perdana Menteri secara langsung menerusi televisyen di seluruh negara malam tadi.

-- BERNAMA