Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, surat asal Ketua Pengarah Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil yang memberi kuasa kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low adalah bersama Bank Negara Malaysia (BNM)

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain, 54, berkata, salinan surat tersebut telah dikemukakan di mahkamah tetapi difahamkan BNM adalah penerima surat itu.

Jelasnya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, SPRM juga gagal memperoleh salinan asalnya.

Jelas Rosli, proses mencari dokumen dari pihak berkuasa terus berjalan melalui 2018, seperti yang dinyatakan melalui surat permintaan kepada entiti seperti AmBank Islamic sehingga September 2018.

Pada tahun 2014, Nik Faisal menghantar surat untuk membolehkan rakan sekutu Jho Low, Kee Kok Thiam mendepositkan wang tunai ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim mengarahkan perhatian mahkamah kepada tiga surat AmBank bertarikh Mei dan Jun 2018 yang menyenaraikan barang-barang yang dihantar kepada pihak berkuasa.

Rosli turut mengesahkan bahawa senarai lengkap item dihantar pada 13 Jun, 2018.

Ini termasuk surat arahan yang berkaitan dengan akaun AmBank Najib dan resit berkenaan.

Dalam pada itu Rosli memberitahu, Najib tidak menafikan bahawa tanda tangan pada dokumen itu adalah daripadanya.

Jelasnya, SPRM juga sudah mengambil keterangan Najib sebanyak tiga kali iaitu pada 12 Mei 2015, 22 Mei 2018 dan 24 Mei 2018 berhubung perbicaraan SRC.

"Semua dokumen-dokumen ini telah ditunjukkan kepada Najib, dan dia mengesahkan bahawa tandatangan itu adalah darinya dan tidak ada penafian yang dia katakan,” kata Rosli.

Shafee kemudian bangun dan memberitahu tidak membantah namun mahu mencatat apa yang dikatakan saksi adalah khabar angin melainkan ada dokumen untuk menunjukkan sebaliknya.

Perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd kini mendengar keterangan saksi pendakwaan terakhir.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung esok.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.