Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berhenti memburu mana-mana pihak terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa bagi memerangi gejala itu di negara ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata SPRM akan meneruskan usaha memburu pesalah rasuah tahun depan.

"Kita tidak akan berhenti. Jadi pada 2018, pendekatan sama juga akan kita teruskan bagi membasmi gejala itu di negara ini.

"Ini semua bagi memastikan misi kita melahirkan masyarakat yang memandang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sebagai suatu yang keji dan jijik," katanya ketika berucap pada Malam Aspirasi Media SPRM, di sini pada Khamis.

Antara pendekatan yang dilakukan SPRM untuk membanteras rasuah adalah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah.

Dalam pada itu, Dzukifli berkata tiada sesiapa boleh menafikan peranan media dalam membantu pembangunan masyarakat dan negara secara keseluruhannya justeru kerjasama media dan pihaknya amat dialu-alukan bagi memerangi rasuah di negara ini.