Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes melibatkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa, telah pun selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata kertas siasatan kes itu telah dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk penelitian dan keputusan selanjutnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status penyiasatan kes SPRM yang melibatkan pengerusi MARA itu, di Dewan Rakyat hari ini.

Hanipa juga bertanya sama ada saksi utama kes berkenaan iaitu Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM.

Low berkata siasatan SPRM mendapati tiada keperluan untuk memanggil Tunku Ismail memberi keterangan dalam kes tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Annuar digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta merta pada 31 Jan lepas berikutan dakwaan berhubung penajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan. -- Bernama