Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka diambil keterangan petang ini berhubung pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, keterangan kedua-dua individu akan diambil di Akademi Pencegahan Rasuah selepas solat Jumaat.

BACA:Pendedahan audio: Polis mungkin 'paksa' Najib, Rosmah tampil beri keterangan

BACA:Rakaman audio: Ramai lagi individu akan dipanggil - KPN

BACA:Pemilik suara klip audio diumum minggu ini - KPN



Minggu lalu, polis telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Individu yang dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.


Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.