Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini mengumumkan pelarasan tarif air bagi pengguna bukan domestik di Melaka, berkuat kuasa, 1 Jan depan.

Pengerusi SPAN Datuk Ismail Kasim berkata pelarasan tarif berkenaan dilakukan setelah menerima dan membuat semakan ke atas cadangan pelarasan tarif daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

"Pelarasan tarif ini tidak melibatkan pengguna domestik di Melaka...ia telah diwartakan dan akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2016," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kadar baharu tarif air yang ditetapkan bagi pengguna bukan domestik adalah RM2 bagi penggunaan 0-50 meter padu air (m3), RM2.05 (melebihi 51-100m3) dan RM2.15 (melebihi 100m3).

Bagi pengguna domestik, struktur tarif air adalah kekal pada kadar semasa iaitu 60 sen bagi penggunaan 0-20m3, 95 sen (penggunaan melebihi 21-35m3) dan RM1.45 (penggunaan melebihi 35m3).

Ismail berkata sebanyak 26,749 akaun pengguna bukan domestik menggunakan air tidak melebihi 50m3 sebulan, 2,528 akaun menggunakan air antara 51m3 hingga 100m3 dan 2,720 menggunakan air melebihi 100m3.

Sementara itu, Ismail berkata kadar baharu bagi kategori perkapalan dan pemprosesan semula air ditetapkan sebanyak RM7 bagi satu meter padu dan melibatkan 422 akaun pengguna.

Kali terakhir tarif air di Melaka disemak dan diselaraskan adalah pada 1 April 2011.