Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan dimansuhkan, sebaliknya ia akan hanya dikaji semula dan dibentangkan untuk dipinda pada sesi Parlimen tahun hadapan sekiranya perlu.

Menurut Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pihaknya sedang meneliti akta sedia ada dengan melihat perkembangan semasa berkaitan aktiviti keganasan.

“Dalam manifesto Pakatan Harapan, ada katakan SOSMA tidak akan dihapuskan, boleh semak. Yang kita janjikan adalah meneliti mana-mana bab dalam SOSMA yang boleh kita perbaiki.

“Ada sesetengah pihak katakan tidak selaras hak asasi manusia, zalim dan sebagainya. Ini telah kita mulakan sejak tahun ini, dimana kita bincang bersama stakeholder, Suhakam dan banyak lagi untuk mendapat input dan maklum balas,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara di sini pada Rabu.

Jelasnya peringkat pertama telah dibawa ke peringkat Kabinet dan mendapati beberapa isu perlu diperhalusi kementeriannya.

“Kita dah bawa peringkat pertama ke Kabinet, tetapi Kabinet berpendapat ada lagi yang kita perlu perhalusi sebab itu kita teruskan proses libat urus dengan pelbagai badan pertubuhan.

“Supaya akhirnya kita bawa ke Kabinet, Parlimen banyak pihak akan berpuas hati. Ada beberapa fasal kita perlu teliti, soal mendapat akses khidmat guaman, tempoh reman 28 hari ada yang kata agak panjang,” ujar Muhyiddin lagi.

Tegas Menteri Dalam Negeri itu, SOSMA masih diperlukan jika dilihat perkembangan terkini berhubung aktiviti kumpulan pengganas di dalam negara mahupun antarabangsa.

Tambah Muhyiddin sekiranya tidak dikekang, pihak yang dikaitkan dengan pengganas itu boleh terlepas daripada undang-undang sekaligus mengancam keselamatan negara.