Syarikat penerbangan yang mahu menjalankan operasi mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Pengangkutan.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata prosedur operasi standard (SOP) ketat tetap dilaksanakan walaupun terdapat pertambahan dalam penerbangan domestik.

“Sebenarnya penerbangan di dalam domestik memang kita benarkan seperti saya umumkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSAAS) Subang.

“Misalnya, Firefly masih lagi meneruskan penerbangan mereka begitu juga dengan MAS (Malaysia Airlines) yang terbang ke Sabah dan Sarawak masih dibenarkan,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan bahawa syarikat penerbangan Kumpulan AirAsia sudah beroperasi pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pihaknya yakin bahawa syarikat tersebut telah memenuhi SOP yang ditetapkan dan mendapat kebenaran untuk meneruskan penerbangan.

“Ramai yang meminta ditambah jadual penerbangan mereka (Firefly dan MAS), mungkin tidak cukup satu kali seminggu.

“Jika AirAsia terbang ke Sabah dan Sarawak, ini juga untuk menampung keperluan penumpang-penumpang yang mungkin tidak boleh terbang dalam waktu yang mereka kehendaki kerana MAS terbang sekali seminggu sahaja,” katanya.