Sokongan kaum India bagi MIC dijangka mencapai tahap 65 peratus secara purata pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbanding pada PRU13 berdasarkan kajian Jalinan Rakyat, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam pada Rabu.

Beliau berkata keyakinan itu adalah berdasarkan pada maklum balas daripada lebih 800,000 pengundi India di peringkat kebangsaan menerusi pelbagai program dan bantuan yang dilaksanakan khusus untuk kaum berkenaan.

"Pada PRU13, hanya 48 hingga 55 peratus masyarakat India menyokong MIC. Pada PRU kali ini, tahap sokongan ini lebih tinggi.

"Namun, peratusan sokongan adalah berbeza mengikut kawasan, dengan sesetengah kawasan merekodkan sokongan serendah 50 peratus dan ada setinggi 80 peratus.

"Tetapi secara purata, kita yakin mempunyai sokongan 65 peratus daripada kaum India, yang kira-kira 1.1 juta adalah pengundi," katanya.

Dr Subramaniam bercakap kepada pemberita di sini selepas melancarkan Manifesto MIC yang merangkumi empat tunggak utama dan 22 tawaran bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata undi masyarakat India juga merupakan penentu keputusan di beberapa kawasan Parlimen dan DUN.

Beliau melihat peluang MIC lebih cerah untuk menawan semula kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang jatuh ke tangan pembangkang sebelum ini.

Pada PRU13, MIC hanya menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Cameron Highlands, Segamat, Tapah dan Hulu Selangor serta lima daripada 18 kerusi DUN.

Ditanya sama ada sokongan 65 peratus itu menunjukkan tsunami masyarakat India yang berpihak ke BN, Dr Subramaniam berkata: "Saya tidak menyebutnya sebagai tsunami masyarakat India, ia sebenarnya menunjukkan sokongan yang lebih tinggi daripada masyarakat India bagi MIC.

"Ini adalah kerana masyarakat India telah dan sedang melihat kebolehan dan kemampuan MIC untuk terus berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan untuk meningkat dan memperkasa taraf sosio-ekonomi kaum itu, khususnya kumpulan berpendapatan rendah (B40) agar tidak ketinggalan dari arus pembangunan negara."

-- BERNAMA