Persatuan Isteri Wakil Ketua-Ketua Diplomat di Malaysia (SOHOM) bakal menganjurkan SOHOM International Charity Bazaar 2019 di ibu negara pada 19 November ini.

Bertempat di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur, acara itu bermatlamat mengumpul dana bagi tujuan kebajikan dan aktiviti kemanusiaan di Malaysia.

Menurut Presiden SOHOM, Triana Nechytaylo, program ini adalah kali kedua diadakan selepas penganjurannya pada tiga tahun lalu.

SOHOM International Charity Bazaar 2019 bakal dirasmikan isteri Menteri Luar Negeri, Datin Norlin Shamsul pada jam 10 pagi.

"Tiga tahun dulu kami telah menjayakan bazar pertama dan ia juga diadakan di JW Marriot. Kami berjaya memperoleh dana sebanyak RM100,000.

"Jadi kami mensasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah dana yang diperoleh sebelum ini. Ketika ini, 3,000 tiket telah terjual dan tambahan 1,000 lagi tiket sedang dijual," katanya kepada Astro AWANI selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan SOHOM International Charity Bazaar 2019 di sini pada Selasa.

Antara anggota SOHOM yang hadir pada Selasa

Menurutnya, dana RM100,000 yang berjaya dikumpul pada program pertama telah dimanfaatkan dengan membantu beberapa institusi dan membiayai pendidikan pelarian dari beberapa negara.

"Kami juga akan terus memberi sokongan kepada mereka yang dibantu pada program lalu. Pada masa sama kami akan membantu mengagihkan bantuan kepada institusi lain," ujar beliau.

Untuk pelan rancangan selepas program kedua, SOHOM akan terus mengagihkan bantuan kepada mereka memerlukan.

Ketika ini katanya, terdapat kira-kira 54 anggota SOHOM yang mengambil bahagian.