Sebuah lagi pusat SMA-TEGAS Digital Innovation Hub (DIH) dilancarkan di Miri hari ini.

Ini merupakan pusat DIH ketiga dibuka di negeri itu selepas Kuching dan Bintulu.

DIH merupakan platform bagi negeri Sarawak mentranformasikan pembangunan ekonomi konvensional kepada ekonomi digital.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, landskap ekonomi negeri Sarawak akan berubah seiring perkembangan terkini pasaran yang tertumpu kepada perniagaan alam maya termasuk teknologi digital.

“Masa depan tidak akan bergantung lagi pada hidrokarbon, tidak lagi bergantung pada minyak dan gas, pakar meramalkan bahawa sumber kekuatan ekonomi bergantung kepada data raya dan ia adalah platform dapatkan nilai tambah.

“Ini memerlukan analitis komputer, kita mesti boleh menganalisis data dan data ini akan menghasilkan produk baru. Inilah masa depan ekonomi kita,” jelasnya ketika merasmikan SMA-TEGAS Digital Innovation Hub di Miri Times Square pada Ahad.

Menerusi ucapannya, Abang Johari turut menyarankan agar anak muda untuk terus terlibat dalam menjayakan aspirasi mendigitalkan Sarawak.

Tambahnya untuk langkah pertama, golongan belia disaran untuk cuba mempromosikan lokasi pelancongan yang ada di Miri melalui aplikasi digital.

“Visi dan misi penubuhan SMA-TEGAS adalah bagi membentuk golongan muda yang mampu mencipta sesuatu yang baharu seterusnya mampu mencipta progress dan impak dalam pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.

Menerusi majlis sama, beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) juga ditandatangani antara SMA-TEGAS dan syarikat berkaitan antaranya Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Yayasan Persona dan Curtin University Malaysia.