Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenal pasti sumber yang berkemungkinan membocorkan data peribadi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata pihaknya sedang menyiasat beberapa sumber termasuk ejen syarikat telekomunikasi.

"Pihak SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat perkara ini dan kita telah mengenal pasti sumber-sumber yang mana berkemungkinan data ini bocor.

"Orang ramai agak prihatin dengan apa yang telah berlaku kerana kita mempunyai akta yang melindungi data peribadi.

"Apabila ini (kebocoran) berlaku kita kena ambil tindakan segera dan saya harap dalam sedikit masa lagi kita boleh menyelesaikan perkara ini," katanya ketika ditemui media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, perkara tersebut diperoleh hasil perbincangan SKMM dengan syarikat telekomunikasi kelmarin.

Tambahnya ini merupakan kes pertama yang melibatkan kebocoran data peribadi.

Beliau pada masa sama mengingatkan syarikat telekomunikasi agar meningkatkan tahap keselamatan data peribadi supaya kes tersebut tidak berulang.

Salleh ketika perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, terdapat perselisihan faham antara Lowyat dan SKMM berhubung isu kebocoran itu pada mulanya sehingga mengakibatkan artikel berkenaan pendedahan tersebut ditarik balik.

Dalam artikel berkenaan, Lowyat berkata, data maklumat peribadi rakyat Malaysia itu diambil dari Jobstreet.com, Persatuan Perubatan Malaysia dan pemohonan pinjaman perumahan rakyat Malaysia, antara lain, dijual kepada bitcoins.

Data utama adalah daripada data pelanggan syarikat telekomunikasi termasuk Celcom, DiGi, Maxis, Tune Talk dan Umobile.

Artikel berkenaan juga menyebut insiden itu mungkin merupakan salah satu daripada pelanggaran kesalahan melibatkan data terbesar dalam sejarah Malaysia.