Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil beberapa dokumen di pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Selangor bagi membantu siasatan berhubung skandal pemberian tanah di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya juga sudah membuka semula kertas siasatan berdasarkan maklumat baharu yang diperolehi.

"Kesemua dokumen yang diambil di Pejabat Daerah dan Tanah sedang diteliti jadi beri kami masa untuk jalankan siasatan.

"Saksi kita sedang panggil dan jika ada pihak yang dirasakan terbabit, SPRM akan buat siasatan lebih mendalam," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media sempena Malam Apresiasi Media SPRM, di sini, malam ini.

SPRM membuka kembali siasatan berhubung skandal tanah di Kampung Sungai Yu selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), mengumumkan proses pemberian milikan tanah Kampung Sungai Yu kepada 175 pemohon didapati tidak mematuhi syarat.

Antaranya kewujudan 'individu' misteri yang nombor kad pengenalan mereka tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi mampu melepasi tapisan Jawatankuasa Pemilih dan juga kerajaan negeri.