Kerjasama penuh kerajaan Malaysia amat diperlukan bagi membantu merungkai skandal pembelian dua kapal selam Scorpene yang telah berlarutan lebih 10 tahun.

Peguam warga Perancis yang menyiasat kes tersebut, William Bourdon berkata kerajaan baharu Malaysia yang komited menentang korupsi diharap dapat membantu kerajaan Perancis daripada segi perkongsian maklumat yang dimiliki badan perundangan serta pihak berkuasa antara dua negara.

Kata Bourdon, yang pernah dihalang memasuki negara pada 2011 ketika kerajaan dipimpin Barisan Nasional (BN), ketika ini siasatan sedikit tergencat ekoran kurang kerjasama daripada pihak berkuasa Hong Kong.

“Buat masa ini, salah satu ‘lohong hitam’ kes ini adalah Hong Kong. Pihak berkuasa Perancis gagal mendapatkan akses kepada akaun bank syarikat Terasasi (Hong Kong) Ltd.

“Jika pihak Malaysia atau Perancis mendapat akses tersebut, berkemungkinan kita dapat memahami aliran kewangannya, gambaran lengkap tentang siapa yang menerima manfaat daripada komisyen yang diterima syarikat ini,” katanya dalam sidang media di pejabat Suaram di sini pada Selasa.

BACA: Nama Altantuya disebut dalam kontrak jualan Scorpene - Peguam

Menurut Bourdon, Terasasi merupakan syarikat yang diwujudkan untuk menerima komisyen berjumlah US$130 juta daripada pembelian dua kapal selam buatan Perancis itu oleh kerajaan Malaysia ketika Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Menteri Pertahanan pada 2002.

"Kes ini membabitkan jenayah rentas sempadan.

"Jadi, kerjasama antara negara-negara berkaitan amat penting supaya kita dapat merungkai teka-teki yang berlarutan sudah sekian lama,” katanya.

Peguam itu kembali ke Malaysia bersama rakan seangkatannya, Apolline Cagnat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia bagi meneruskan usahanya yang terhalang tujuh tahun lalu.

Maklum Bourdon, mereka berdua akan bertemu Peguam Negara, Tommy Thomas, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong pada petang Selasa.