Sistem pengesanan pergelangan tangan yang dibekalkan kepada individu di bawah siasatan (PUI) di Sarawak tidak mencukupi.

Hal ini berikutan jumlah peranti tersebut dilihat tidak mampu menampung kes PUI di negeri itu yang semakin meningkat.

Perkara itu diumumkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menerusi sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di Kuching pada Sabtu.

Atas faktor itu, warga Sarawak yang diarah menjalani kuarantin diminta untuk kekal berdisplin dan tidak sesekali melanggar perintah demi kebaikan bersama.

Di bawah sistem pengesanan ini, PUI akan melaporkan lokasi mereka dua kali setiap hari dengan menggunakan telefon pintar untuk membaca kod QR pada peranti yang diikat di pergelangan tangan.

“Harapan kita agar mereka ini mengamalkan disiplin yang tinggi, apabila kita diminta berbuat demikian (kuarantin) baik di rumah atau hotel, silalah akur kepada arahan itu dan sama-sama membantu memutuskan rantai COVID-19 ini.

“Sekiranya mereka terus berdegil dan melanggar arahan, mereka boleh ditangkap dan didakwa jadi bagi saya tidak perlulah bergantung kepada tagging ini kerana ia tidak mencukupi bagi menampung bilangan iundividu dikuarantin ini,” tambahnya.

Sarawak sebelum ini muncul negeri pertama di Malaysia yang menggunakan sistem pengesanan pergelangan tangan kepada warganya yang dikategorikan sebagai individu di bawah siasatan (PUI) di negeri itu sehingga tamat tempoh kuarantin.


Ssitem penjejakan digital itu bagi membantu pihak berkuasa negeri mengesan individu yang diarahkan untuk menjalani kuarantin setelah kembali ke Sarawak kerana dikhuatiri dijangkiti COVID-19.

Di bawah sistem pengesanan ini, PUI akan melaporkan lokasi mereka dua kali setiap hari dengan menggunakan telefon pintar untuk membaca kod QR pada peranti yang diikat di pergelangan tangan.