Sistem pendaftaran mangsa banjir secara dalam talian tidak sesuai diperluaskan ke setiap negeri kerana boleh menimbulkan permasalahan baharu kepada pengurusan bencana negeri dan daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau maklum terdapat cadangan daripada pihak tertentu untuk Agensi Pengurusan Banjir Negara (NADMA) memperluaskan sistem itu yang kini dilaksanakan di Terengganu.

Bagaimanapun, beliau menyifafkan ia tidak relevan dilaksanakan kerana boleh mengundang ketidaktelusan dalam pendaftaran mangsa banjir.

"Kalau setakat sistem antara pejabat daerah dengan kami, itu betul tetapi kalau dalam talian untuk mangsa banjir nak daftarkan diri, itu tak boleh.

"Nanti terdapat orang yang tidak berpindah tetapi menyatakan dirinya berpindah demi mendapatkan wang ihsan banjir," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara Sekolah Agama Kampung Pengkalan Batu di sini, pada Ahad.

Beliau diminta mengulas saranan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini yang menyarankan NADMA memperluaskan sistem pendaftaran banjir dalam talian bagi memudahkan pengurusan mereka apabila berlakunya bencana itu.

Menurut Ahmad Shabery, sistem berkenaan yang telah dilaksanakan di Kemaman, ternyata berkesan dalam membantu melancarkan pengurusan banjir di daerah itu kerana mangsa banjir hanya perlu membuat pendaftaran semasa log masuk ke dalam sistem berkenaan.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata pihaknya turut mempunyai alasan lain untuk tidak memperluaskan sistem berkenaan.

"Sekarang ini Majlis Keselamatan Negara sudah arahkan mangsa-mangsa banjir hendaklah didaftarkan di pusat pemindahan.

"Ini memastikan supaya apa pun yang kita buat, pegawai daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah harus mengesahkan perpindahan mangsa," katanya. -- Bernama