Polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup dengan menahan 12 suspek dan merampas kira-kira 24,250 karton rokok bernilai RM1.7 juta.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata tangkapan kesemua suspek berusia antara 18 dan 29 tahun itu dibuat dalam empat serbuan berasingan di sekitar Seremban pada Selasa dan Rabu lepas.

"Dalam serbuan ini, sebanyak 485 kotak besar iaitu setiap kotak mengandungi anggaran 50 karton rokok yang keseluruhannya bernilai RM1.7 juta telah dirampas.

"Hasil siasatan mendapati sindiket sudah beroperasi selama enam bulan di lokasi serbuan dan menyasarkan peniaga di sekitar Seremban," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Vision Homes Seremban 2, pihaknya telah merampas 50 kotak besar mengandungi rokok jenama RE King Bold di dalam sebuah kereta jenis Toyota Alphard dan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun.

"Susulan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Kepayang yang disyaki menjadi tempat tinggal sindiket dan merampas wang tunai sebanyak RM547,153, dua unit mesin kira wang, 24 unit telefon bimbit serta menahan 11 suspek.

"Dipandu arah suspek yang ditahan, satu serbuan telah dilakukan ke satu lokasi di Park Avenue yang disyaki menjadi premis simpanan dan merampas 146 kotak besar yang mengandungi rokok pelbagai jenama antaranya U2, Canyon, John White dan Saat," katanya.

Mohamad berkata serbuan keempat pula dilakukan di premis yang disyaki menjadi tempat simpanan rokok di S2 Heights Seremban dan merampas 289 kotak besar yang mengandungi rokok pelbagai jenama.

Katanya, pihaknya turut menyita empat buah kenderaan yang dipercayai digunakan sindiket bagi menjalankan aktiviti mereka.

Kesemua suspek kini direman sehingga 11 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA