Bukan cap ayam. Jangan salahkan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) jika ada kemalangan berlaku.

Ketegasan itu dikeluarkan bagi menangkis suara-suara sinis yang dilemparkan ke atas LPT2 berikutan sering berlaku kemalangan jalan raya di kemudahan itu.

“Sebenarnya sikap pengguna jalan raya yang salah, memandu dalam keadaan mengantuk, memandu laju dengan tidak mengikut had laju kebangsaan, lalu berlaku kemalangan,’’ jawab Pengerusi Jawatankuasa Infrastuktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Ir Rosli Othman bagi mempertahankan LPT2 bukan cap ayam sebagaimana didakwa segelintir pihak.

Menurutnya, LPT2 dibina mengikut standard lebuh raya yang telah ditetapkan seperti LPT1 dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

"Kita tengok siapa yang memandu. Tidak ada yang memandu kereta 80 kilometer sejam. Yang ada, 120, 160, 200 kilometer sejam pun ada. Jadi, kita tengok dari aspek itu.

"Keduanya, aduan yang kita terima ialah, kena saman atas jalan raya. Saman pasal apa? Memandu laju. Jadi, tidak ada isu. Kita bawa laju, maka berlakulah (kemalangan)," kata Rosli pada Sabtu.

BACA: "Bagai dapat petanda, gigi bawah tercabut, rupa-rupanya anak yang pergi.."

BACA: Kereta berpusing dan terbalik selepas terlanggar tapir


Pada Jumaat, seorang pengurus projek sebuah syarikat kontraktor petroleum maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabas di Kilometer 317.4 LPT2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 pagi itu, Zailani Ngah, 41, meningggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Walaupun bukan cap ayam, Rosli mengakui ketika LPT2 dibuka sepenuhnya pada awal tahun 2015 laluan lebuh raya itu didapati bermasalah menerusi kajian yang dilakukan tetapi melibatkan peratusan yang kecil.

“Hanya sedikit bermasalah, mungkin lokasi beralun. Tetapi kemalangan maut tidak berlaku di jalan beralun. Kita kenal pasti laluan yang mengalami kerosakan yang teruk membabitkan laluan antara Paka dan Ajil ,’’ kata Rosli.

Jelasnya, kerja-kerja membaik pulih akan dilaksanakan dengan segera bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya.

Sidang Dewan Negara sebelum ini diberitahu sebanyak 849 kes kemalangan dengan 36 kematian dicatatkan di LPT2 dari 1 Februari hingga November 2015.

LPT2 sepanjang 184 kilometer dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas 31 Januari 2015.