Prosiding terhadap presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan mantan ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan lebih agresif berbanding prosiding biasa sekiranya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempunyai bukti mereka menipu.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi amaran tersebut selepas terdapat khabar angin mengatakan Arul Kanda dan Shahrol tidak berada di luar negara seperti yang dikatakan keduanya sebelum ini.

"Kalau ada bukti mereka tipu, testimoni kami akan lebih agresif daripada biasa. Kami cenderung mereka datang (menghadiri prosiding) dengan niat yang baik untuk mereka ceritakan kisah mereka.

"Kalau ada bukti mereka tipu, anggota PAC tidak akan simpati dengan mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media di Parlimen hari ini.

Arul Kanda dan Shahrol sebelum ini dilaporkan tidak dapat menghadiri prosiding PAC pada 26 Mei dan memohon penangguhan dengan alasan masing-masing berada di luar negara.

"Bila mereka datang kami akan tanya. Apa yang penting, jawapan mereka apa yang berlaku semasa zaman mereka menjadi CEO syarikat.

"Mereka tahu kami serius, mereka perlukan masa untuk siapkan dokumen," katanya lagi.

Nur Jazlan turut berkata hari ini, PAC memberi notis yang mencukupi untuk memanggil kedua-dua eksekutif kanan 1MDB itu hadir menyertai prosiding.

"Kami beri notis mencukupi untuk mereka datang, kami faks, hantar notis pemakluman dan juga buat panggilan telefon," katanya.

Sebelum ini presiden 1MDB itu menafikan enggan menghadiri pendengaran PAC sebaliknya mengatakan mereka "menunggu peluang" menceritakan kedudukan mereka.

Arul Kanda juga memberi jaminan akan bekerjasama penuh sepanjang siasatan dan menegaskan beliau dan Shahrol akan hadir memberi keterangan kepada PAC.