Serangan e-mel merupakan senjata paling digemari para penyerang siber di Malaysia tahun lepas.

Memetik trend serangan siber pada 2016 yang dikeluarkan Laporan Ancaman Keselamatan Internet Symantec (ISTR) Jilid 22, Pengarah Systems Engineering Malaysia David Rajoo berkata dapatan terbaru menunjukkan bahawa satu daripada setiap 131 e-mel yang dihantar kepada pengguna mengandungi pautan atau lampiran berniat jahat.

"Statistik terkini membayangkan bahawa kadar e-mel berniat jahat di negara ini meningkat empat kali ganda dalam tempoh setahun, di mana satu daripada setiap 131 e-mel adalah berniat jahat pada 2016, berbanding satu daripada setiap 437 e-mel pada 2015," katanya pada taklimat media bertajuk '' Threat Landscape: Living off the land working with ubiquitous tools'' di sini ,hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia Datuk Amirudin Abdul Wahab.

Menurut David, kebanyakan serangan menggunakan helah mudah untuk memancing mangsa supaya membuka lampiran, mengikuti pautan atau memberi butiran peribadi mereka.

"Terdapat juga cubaan memancing data emel seperti e-mel palsu yang mengarahkan sasaran supaya set semula kata laluan Gmail mereka," katanya.

Memandangkan serangan e-mel dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang, David menasihati pengguna supaya lebih berwaspada dengan memadamkan e-mel meragukan yang mereka terima, lebih-lebih lagi sekiranya ia mengandungi pautan atau lampiran yang mencurigakan.

"Menukar kata laluan e-mel setiap dua bulan adalah antara cara paling selamat untuk menghalang serangan seperti itu," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata Cybersecurity Malaysia merekodkan 1,331,333 e-mel spam yang diterima pengguna Internet di Malaysia.

Beliau menyifatkan statistik terkini itu sebagai membimbangkan kerana ia boleh memberi ancaman serius terhadap pengguna Internet di Malaysia, termasuk menghadapi risiko dicuri maklumat peribadi mereka.

"Orang ramai perlu memahami dan menggunakan amalan terbaik untuk menangkis ancaman ini.

"Mereka perlu bersikap amat berhati-hati dengan tidak mengklik sebarang e-mel tidak dikenali, di samping memastikan sistem operasi dan perisian masing-masing sentiasa berada dalam keadaan kemas kini," kata beliau.

-- BERNAMA