Seorang lelaki maut manakala tiga lagi rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan mengalami kebakaran di Kilometer 19.5, Lebuhraya Elite, Cyberjaya.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.19 pagi ini.

"Berdasarkan laporan awal, sebuah kereta jenis Citra (Naza Citra) dinaiki empat lelaki berusia 20-an terbabas melanggar pokok sebelum mengalami kebakaran.

"Lelaki yang memandu kenderaan rentung di dalam kereta akibat kebakaran, manakala tiga lagi mengalami cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto JBPM

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan dan dijalankan proses bedah siasat.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.