Seorang lelaki meninggal dunia, manakala puluhan rumah, sebuah tadika dan dua kereta hangus terbakar dalam satu kejadian di Kampung Batung, dekat Pinangah, Tongod, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Eng Suan King @ John Philip, 63 tahun, dilaporkan meninggal akibat melecur dengan teruk.

Jurucakap, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 petang lalu mengerahkan bomba dari Kinabatangan dan Sandakan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba api sedang marak dan kebakaran kemudiannya berjaya dikawal pada jam 9.50 malam.

"Pemeriksaan awal kemudiannya mendapati, kebakaran membabitkan 29 rumah penduduk, dua buah kereta dan sebuah tadika yang musnah sepenuhnya.

"Manakala sebuah kuarters klinik kesihatan hanya terbakar 15 peratus.

"Seorang warga emas pula melecur 90 peratus sebelum dilaporkan meninggal dunia di hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, punca kejadian sebenar masih dalam siasatan.