Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menahan seorang lelaki yang disyaki 'ulat tiket' dalam Ops Ulat di Terminal One, di sini pada Ahad.

Pengurus Besar Kanan, Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan selepas didapati menawarkan khidmat menjual tiket di luar kaunter tiket.

"Siasatan mendapati dia mengaut keuntungan antara RM3 dan RM4 bagi satu tiket," katanya ketika dihubungi .

Menurutnya ketika operasi dijalankan, terdapat beberapa individu lagi yang dipercayai ulat tiket namun gagal ditangkap selepas mereka menyedari kehadiran penguat kuasa SPAD.

Beliau berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini (Isnin), katanya.

Che Hasni berkata menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan, pihaknya meningkatkan penguatkuasaan mengesan ulat tiket khususunya di semua terminal besar di seluruh negara.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman agar tidak menggunakan khidmat ulat tiket terbabit. -- Bernama