Kerajaan mahu memastikan bekas pesalah pedofilia, Nur Fitri Azmeer Nordin, 27, yang pernah disabitkan kesalahan memiliki bahan lucah melibatkan kanak-kanak di London pada 2015, sudah menjalani proses pemulihan.

Ketika ditanya mengenai sentimen masyarakat berkaitan Nur Fitri yang bakal melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan juga perlu bersikap adil kepada semua pihak berikutan Nur Fitri sudahpun menjalani hukumannya sebelum ini.

"Setiap sesuatu ada dua sisi. Dia sudahpun menjalani hukuman. Adakah dia perlu dihukum seumur hidup? Satu aspek lain adalah, sama ada dia sudah menjalani proses pemulihan," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Wan Azizah menekankan aspek kemas kini senarai daftar pesalah jenayah seksual kanak-kanak.

“Memang kita adakan registry untuk mereka yang telah didapati bersalah namun kita akan lebih komprehensif sebab kita sekarang ini ada kutipan (rekod) hanya dari 2017 dan Fitri adalah (kes) 2015 dan (kesnya) di luar negara.

"Kita akan melihat pada kelompongan (senarai daftar) dan mengemas kini kerana yang penting adalah kebajikan dan keselamatan kanak-kanak. Kita sudah memulakan (proses) kemas kini senarai itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Kedah di Aman Central di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

BACA: MARA tamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri Azmeer serta-merta

BACA: Pelajar genius Malaysia di London dipenjara lima tahun miliki bahan lucah kanak-kanak

BACA: Nur Fitri 'sakit' dan perlu pemulihan - Rohani

Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Dia didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah pornografi kanak-kanak, termasuk 601 imej ‘Kategori A’ yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Sebelum ini, wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat apabila Nur Fitri yang didapati bersalah membabitkan jenayah pedofilia di London itu diterima mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di UKM selepas mendaftar untuk mengikuti pengajian itu sejak 2016.

Pada 2011, Nur Fitri pernah bertanding dalam Kejuaraan Olimpik Matematik di Amsterdam, Belanda.