Habib Jewels Sdn Bhd dalam satu kenyataan pada Jumaat mengesahkan bahawa semua urusniaganya adalah dengan niat baik dan disokong bersama dokumentasi yang sah.

Syarikat itu berkata ia termasuk transaksi yang mungkin tertakluk kepada siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kenyataan berkenaan bagi merujuk kepada 41 individu dan entiti tempatan yang dikenalpasti SPRM terlibat dalam transaksi dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM270 juta.

“Kami ingin menyatakan bahawa pihak kami tidak menerima sebarang notis rasmi berhubung perkara ini.

“Kami juga ingin mengesahkan bahawa kerjasama telah diberi sepenuhnya dan kami akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara ini,” katanya.

Selain Habib Jewels, permohonan berkenaan turut dikemukakan kepada 40 penerima dan entiti lain yang dikaitkan dengan akaun bank peribadi bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.